Friday, August 20, 2010

'Pindaan Akta Pekerja hanya untungkan majikan' - Abdul Rahim Sabri

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menghentikan kesemua pindaan akta yang melibatkan kepentingan pekerja kerana ia didakwa lebih menindas dan mengurangkan hak-hak sedia ada mereka.

Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim (kanan) mendakwa, cadangan pindaan Akta Pekerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 itu hanya memberi kelebihan kepada majikan.

"Rakyat menderita kerana hak mereka akan ditarik balik," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur.

"(Kita) kembali ke zaman penghambaan sedangkan kita mengganggap pekerja sebagai tulang belakang negara dan bukan komoditi."

PSM sebaliknya mendesak kerajaan sekali lagi memperkenalkan akta gaji minumum, pendaftaran autormatik dalam kesatuan sekerja dan mengutamakan gaji pekerja daripada pembayaran hutang syarikat.

Dalam sidang media yang sama, ahli jawatankuasa PSM V Selvam mendakwa cadangan pindaan itu dibuat dengan tidak mengambilkira pandangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan NGO terbabit.

Menurut Selvam (kiri sekali), antara cadangan pindaan yang harus ditolak antaranya dalam Seksyen 19 Akta Kerja 1955 didakwa membenarkan majikan melewatkan pembayaran gaji kerja lebih masa sehingga tempoh 30 hari.

"Sekarang ini, gaji lebih masa dibayar dalam tempoh tujuh hari. Kebanyakan pekerja di Malaysia bergantung kepada gaji itu supaya tanggungan mencukupi," katanya.

Manakala, dalam Seksyen 60A akta yang sama pula didakwa membenarkan majikan menentukan waktu bekerja yang "tidak munasabah" apabila pekerja boleh memulakan tugas seawal jam 5 pagi, dakwanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gaji minimum, Dr Nasir berkata cadangan jumlah RM1,500 yang diperjuangkan mereka amat bersifat anjal.

Beliau yang juga Adun Kota Damansara berkata, dalam keadaan ekonomi tertentu, seperti inflasi atau peningkatan taraf hidup, nilainya harus berubah.

"(Tetapi) ia tidak boleh dikurangkan daripada jumlah tersebut," jelasnya.

http://www.malaysiakini.com/news/140515

No comments:

Post a Comment