Sunday, November 17, 2013

Kesatuan Pekerja Mahu Suruhanjaya Tenaga Henti Cadangan Pisahkan TNB


KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Empat kesatuan dan persatuan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Khamis menggesa Suruhanjaya Tenaga (EC) untuk tidak meneruskan cadangan memisahkan syarikat utiliti nasional itu menjadi lima entiti berlainan.

Kumpulan pekerja tersebut, dalam satu kenyataan bersama memaklumkan mereka terkejut dan kesal dengan kenyataan terkini EC berhubung cadangan memisahkan TNB.

"Kenyataan yang dibuat oleh EC itu telah menimbulkan keresahan di kalangan pekerja TNB. Semua pihak yang berhasrat untuk memisahkan TNB perlu menghormati dan diminta tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan seperti itu.

"Kami ingin menekankan kepada semua pihak yang berhasrat untuk memisahkan TNB supaya tidak lagi memainkan isu ini. Kami bersedia mempertahankan TNB dari dipisahkan dengan apa cara sekali pun," menurut kenyataan itu.

Kumpulan tersebut ialah Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB, Tenaga Nasional Junior Officers Union dan Persatuan Unit Keselamatan TNB.

Pada 8 Nov lepas, EC dilaporkan sebuah akhbar mengemukakan cadangan untuk memisahkan TNB kepada lima entiti berlainan di bawah inisiatif Kawal Selia Berdasarkan Insentif (IBR) bagi meningkatkan kecekapan operasi firma utiliti nasional itu.

Menurut laporan itu lagi, cadangan pemisahan tersebut akan memudahkan pemantauan ke atas setiap akaun unit perniagaan syarikat utiliti nasional tersebut.

Sehubungan itu, kumpulan kesatuan berkenaan bertindak menghantar surat kepada EC hari ini bagi menyatakan hasrat melakukan kunjungan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.



-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=993370

No comments:

Post a Comment