Tuesday, August 20, 2013

STATUS KAJIAN SEMAKAN PELARASAN GAJI OLEH HAY CONSULTANT

Sesi syndication dengan pihak HAY Consultant telah diadakan pada 20 Ogos 2013 di tingkat 10, Bangunan TNB Ibu Pejabat. Dalam sesi tersebut pihak HAY telah membentangkan hasil kajian, skop kajian, isu-isu yg dikenalpasti untuk pekerja non executive serta mendapatkan maklumbalas Kesatuan untuk tujuan kajian selanjutnya.

Pihak HAY juga menjelaskan garispanduan dan prinsip kajian adalah berdasarkan kepada 2 perkara utama iaitu :-
1) Peluang Haluan Kerjaya berdasarkan kompetensi
2) Ganjaran berdasarkan dayasaing dan amalan di pasaran pekerjaan.

Tujuan kajian dilakukan adalah untuk perkongsian maklumat berdasarkan amalan semasa melalui hasil kajian perbandingan yang dilakukan oleh pihak bebas terhadap amalan di pasaran pekerjaan.

Melalui hasil kajian tersebut juga telah diketengahkan rasionalisasi dan justifikasi kajian untuk pemahaman Kesatuan dengan mengambil contoh-contoh gred gaji dan jawatan di pelbagai sektor pekerjaan. Ianya turut disokong oleh fakta-fakta angka dan graft bagi memperincikan penerangan hasil kajian yang dilakukan.

Sumber kajian untuk perbandingan ialah dengan merujuk kepada contoh-contoh 16 syarikat Minyak dan Gas (O&G), 14 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga Sektor Perkhidmatan Awam kerajaan seperti yang telah dipersetujui bersama dalam mesyuarat terdahulu yang diadakan pada March 2013.

Matlamat Kesatuan melalui hasil kajian ini lebih tertumpu kepada usaha-usaha untuk mendapatkan pandangan pihak yang bebas bagi memastikan gaji,pendapatan,haluan kerjaya dan tugasan ahli-ahli dari semua gred yang diwakili Kesatuan adalah setara dan setimpal dengan amalan pekerjaan yang ada di negara ini. Selain itu Kesatuan juga cuba mencari penyelesaian terhadap permasalahan berkaitan gaji dan pendapatan yang telah dibangkitkan oleh kumpulan-kumpulan pekerja berdasarkan gred-gred tertentu.

Tidak ada sebarang keputusan pelarasan gaji yang dibentangkan.Pihak Kesatuan telah memohon satu tempoh masa untuk melakukan semakan terhadap data dan fakta-fakta yang diberikan dan akan menyambung sesi perbincangan seterusnya dalam masa terdekat. Selain itu Kesatuan juga memerlukan masa bagi menyediakan statistik sokongan bagi memastikan isu-isu berkaitan gaji dan pendapatan dapat dibangkitkan dengan teratur bagi mencapai satu penyelesaian.

Ahli-ahli dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap hasil kajian ini dan diminta memberikan kerjasama supaya proses kajian ini dapat dilakukan dengan baik melalui usaha-usaha bersama antara pengurusan,kesatuan dan pihak HAY Consultant.

No comments:

Post a Comment