Wednesday, May 9, 2012
Dari Meja Presiden - PERUTUSAN HARI PEKERJA 2012
Dari Meja Presiden
PERUTUSAN HARI PEKERJA
Assalamualaikum dan salam sejahtera ahli-ahli TNBJOU,
Dunia pekerjaan bergerak pantas selari dengan era globalisasi tanpa sempadan yang turut sama membawa perubahan dan cabaran-cabaran baru kepada masyarakat pekerja. Kita di TNB sewajarnya merasa bersyukur kerana telah dapat mengharungi cabaran dalam bidang pekerjaan tanpa mengabaikan atau menggugurkan prinsip-prinsip utama memperjuang dan mempertahankan hak-hak pekerja.
Baru-baru ini Datuk Azman Mohd telah diumumkan sebagai CEO baru TNB berkuatkuasa 1 Julai 2012. Natijah dari pengumuman ini membuktikan suara pekerja TNB yang dipelopori Kesatuan/ Persatuan TNB telah didengar dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan. Tibalah masanya bagi pekerja TNB terutamanya ahli-ahli Kesatuan untuk menterjemahkan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dengan memastikan TNB terus berada dipersada kejayaan dalam melaksanakan agenda negara.
Perpaduan pekerja TNB perlu ditingkatkan bagi menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini. TNB adalah satu organisasi ternama yang terus mendapat perhatian pelbagai pihak. Pihak-pihak berkepentingan dijangka akan terus cuba menggugat keutuhan TNB sebagai entiti tunggal perbekalan tenaga Negara jika kita berada dalam situasi yang alpa, lemah dan berpecah belah.
Roh dan semangat perjuangan pemimpin - pemimpin Kesatuan/Persatuan TNB dalam era LLN/Penswastaan perlu diimbas kembali dan dijadikan azimat untuk merapatkan saf perpaduan. Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran. Kenikmatan berada dibawah payung Keharmonian Perhubungan Perusahaan di TNB perlu disyukuri kerana jatuh bangunnya sesebuah organisasi terletak ditangan pekerjanya.
SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment