Wednesday, May 9, 2012

TERIMA KASIH PERDANA MENTERI




PICC Putrajaya 3 Mai 2012 :
Jawatankuasa Bersama Kesatuan/ Persatuan TNB yang terdiri dari TNBJOU,PETNB dan KPPPTNB merakamkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada kepimpinan dalaman TNB untuk menerajui semula TNB melalui pengumuman pelantikan Datuk Azman Mohd selaku CEO baru TNB.

Sekalung penghargaan juga kepada semua pihak dalaman dan luaran TNB yang telah memberikan sokongan bagi merealisasikan hasrat ini.

Kesatuan/Persatuan akan memastikan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri ini diterjemahkan dengan sokongan padu kepada Pengurusan dalam memastikan Misi dan Visi Syarikat tercapai demi mencapai Wawasan Negara menjelang 2020.

DATUK AZMAN MOHD - CEO BARU KITA DI TNB



3 Mei 2012 : TAHNIAH! Datuk Azman Mohd kerana telah dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer – CEO) TNB bermula dari 1 Julai 2012. Kesatuan menterjemahkan pelantikan ini sebagai satu pengiktirafan kerajaan dalam memartabatkan semula kepimpinan dalaman TNB sebagaimana yang dihasratkan oleh majoriti pekerja TNB termasuk Kesatuan dan Persatuan sejak beberapa tahun lalu. Tinjauan awal Kesatuan melalui laman sosial facebook, e-mail yang diterima, sms, panggilan talipon serta perjumpaan dengan ahli-ahli jelas menunjukkan pengumuman perlantikan ini mendapat maklumbalas yang amat positif dari ahli-ahli Kesatuan serta dijangka akan memulihkan kepercayaan pekerja terhadap Syarikat dan kerajaan.

Kesatuan berikrar untuk memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Azman dan akan memastikan pelantikan ini akan turut membawa maksud peningkatan kualiti dan produktiviti di kalangan pekerja TNB. Adalah juga menjadi harapan Kesatuan supaya hubungan harmoni yang telah dilakukan oleh Datuk Azman sejak sekian lama dengan pekerja dan TNBJOU dapat terus dipertingkatkan.

TNBJOU juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Che Khalib bin Mohd Noh yang telah menerajui TNB selama lapan (8) tahun, iaitu sejak 2004.

TERIMA KASIH CFO




TERIMA KASIH CFO DAN SELAMAT MAJU JAYA


En Mohamed Rafique Merican bin Mohd Wahiduddin Merican - Chief Financial Officer (CFO) Tenaga Nasional Berhad (Ogos 2009 – Mei 2012) akan menamatkan perkhidmatan pada pertengahan Mei 2012 kerana dilantik selaku CFO MAYBANK.

Meskipun En Mohamed Rafique merupakan kepimpinan kanan TNB yang didatangkan dari Syarikat luar TNB, namun keramahan dan pendekatan beliau dalam menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan pekerja secara berhemah telah membuktikan beliau adalah seorang yang amat toleran dan berjaya memenangi hati pekerja.

TNBJOU merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan beliau dan amat menghargai sumbangan beliau dalam memperkukuhkan Keharmonian Perhubungan Perusahaan terutamanya ketika rundingan Perjanjian Kolektif yang lalu dijalankan.

STATUS PERTIKAIAN PERUSAHAAN


Senarai 9 perkara berhubung 3 isu Kegagalan Pematuhan Perjanjian Kolektif (CA Non Compliance) dan 6 isu perlaksanaan Operasi sedang melalui proses rundingan. Setakat ini telah diadakan tiga rundingan khas berkaitan isu-isu yang dibangkitkan. Terdapat tanda-tanda positif isu-isu yang menjadi pertikaian tersebut sedang menuju ke titik penyelesaian.

Antara isu yang menjadi keutamaan Kesatuan adalah berhubung kerja-kerja kontrak (outsourcing) yang dilakukan majikan kepada jawatan-jawatan yang diiktiraf di dalam skop Perjanjian Kolektif.

Kesatuan tegas mendesak pihak pengurusan membatalkan pelaksanaan ‘Posted E Billing’ dan kerja-kerja kontrak yang telah dikesan menjadi sebab kejatuhan moral pekerja-pekerja TNB. Kesatuan akan meneruskan pendekatan musyawarah dalam merundingkan isu-isu ini dan hanya akan mengambil tindakan perusahaan sepertimana yang diluluskan oleh Mesyuarat EXCO pada 12 Mac 2012 sekiranya gagal menyelesaikannya di meja perundingan.

LDP 10-13 JULAI 2012 DI JOHOR BAHARU


TNBJOU akan mengadakan program Latihan Dalam Perkhidmatan 2012 (LDP 2012) di Johor Baharu pada 10-13 Julai 2012. Program latihan tahunan yang dibiayai oleh Pengurusan TNB ini akan disertai oleh kira-kira 110 peserta yang terdiri dari Jawatankuasa 22 Cawangan (bukan EXCO) dan ahli-ahli TNBJOU yang dipilih dari Cawangan di Kawasan Utara yang meliputi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Sebagai rekod pada tahun 2011, TNBJOU telah menganjurkan program LDP di Kota Kinabalu, Sabah yang diperuntukkan bagi Ahli-Ahli EXCO.

Jawatankuasa Pendidikan TNBJOU yang di pengerusikan oleh Sdr Ali Omar-Setiausaha Agong telah menetapkan pembahagian program tahunan LDP untuk penggal 2010-2013 dilakukan secara giliran seperti berikut:-

• 2011-Lokasi Kota Kinabalu dan dikhaskan untuk Ahli Majils EXCO.
• 2012-Lokasi Johor Bharu dan dikhaskan untuk Jawatankuasa 22 Cawangan dan ahli yang dipilih dari Kawasan Utara.
• 2013-Lokasi (belum diputuskan) dan dikhaskan untuk ahli Perwakilan di 22 cawangan dan ahli-ahli yang dipilih dari cawangan Pantai Timur.
SAMBUTAN HARI PEKERJA MTUC


Pemimpin utama TNBJOU dan ahli-ahli disekitar Lembah Klang turut serta dalam program Sambutan Hari Pekerja anjuran MTUC Selangor Wilayah Persekutuan pada 1 Mei 2012 dan MTUC Pusat pada 6 Mei 2012 bertempat di depan bangunan MTUC,Subang Jaya,Selangor.

Dari Meja Presiden - PERUTUSAN HARI PEKERJA 2012


Dari Meja Presiden
PERUTUSAN HARI PEKERJA

Assalamualaikum dan salam sejahtera ahli-ahli TNBJOU,

Dunia pekerjaan bergerak pantas selari dengan era globalisasi tanpa sempadan yang turut sama membawa perubahan dan cabaran-cabaran baru kepada masyarakat pekerja. Kita di TNB sewajarnya merasa bersyukur kerana telah dapat mengharungi cabaran dalam bidang pekerjaan tanpa mengabaikan atau menggugurkan prinsip-prinsip utama memperjuang dan mempertahankan hak-hak pekerja.

Baru-baru ini Datuk Azman Mohd telah diumumkan sebagai CEO baru TNB berkuatkuasa 1 Julai 2012. Natijah dari pengumuman ini membuktikan suara pekerja TNB yang dipelopori Kesatuan/ Persatuan TNB telah didengar dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan. Tibalah masanya bagi pekerja TNB terutamanya ahli-ahli Kesatuan untuk menterjemahkan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dengan memastikan TNB terus berada dipersada kejayaan dalam melaksanakan agenda negara.

Perpaduan pekerja TNB perlu ditingkatkan bagi menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini. TNB adalah satu organisasi ternama yang terus mendapat perhatian pelbagai pihak. Pihak-pihak berkepentingan dijangka akan terus cuba menggugat keutuhan TNB sebagai entiti tunggal perbekalan tenaga Negara jika kita berada dalam situasi yang alpa, lemah dan berpecah belah.

Roh dan semangat perjuangan pemimpin - pemimpin Kesatuan/Persatuan TNB dalam era LLN/Penswastaan perlu diimbas kembali dan dijadikan azimat untuk merapatkan saf perpaduan. Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran. Kenikmatan berada dibawah payung Keharmonian Perhubungan Perusahaan di TNB perlu disyukuri kerana jatuh bangunnya sesebuah organisasi terletak ditangan pekerjanya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA!

Sunday, May 6, 2012

KENYATAAN MEDIA KESATUAN & PERSATUAN TENAGA NASIONAL BERHAD BERHUBUNG PERLANTIKAN CEO TNB


KENYATAAN MEDIA KESATUAN & PERSATUAN TENAGA NASIONAL BERHAD BERHUBUNG PERLANTIKAN CEO TNB
Tarikh : 4hb Mei 2012

1. Persatuan Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (PETNB), Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB) dan Tenaga Nasional Junior Officers Union (TNBJOU) yang mewakili lebih 25,000 wargakerja TNB sangat mengalu-alukan perlantikan Y. Bhg. Dato’ Ir. Azman bin Mohd, Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi TNB, sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB yang baru berkuatkuasa 1 Julai 2012 bagi menggantikan Y. Bhg. Dato’ Sri Che Khalib bin Mohd Noh.

2. Tahniah diucapkan kepada Y. Bhg. Dato’ Ir. Azman bin Mohd di atas perlantikan tersebut.

3. Kesatuan/Persatuan TNB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Y. Bhg. Dato’ Sri Che Khalib bin Mohd Noh yang telah menerajui TNB selama lapan (8) tahun, iaitu sejak 2004.

4. Perlantikan Y. Bhg. Dato’ Ir. Azman bin Mohd adalah seiring dengan hasrat dan harapan wargakerja TNB yang inginkan kerajaan memberikan pengiktirafan dan kepercayaan kepada kepimpinan dalaman untuk menerajui pucuk pimpinan TNB.

5. Kesatuan/Persatuan TNB akan memberikan sokongan yang padu terhadap pucuk pimpinan yang telah dilantik dan kami berharap pengurusan di bawah kepimpinan Y. Bhg. Dato’ Ir. Azman bin Mohd akan mengukuhkan lagi Perhubungan Perusahaan diantara Pengurusan dan Kesatuan/Persatuan.
Kami yakin dengan wujudnya komitmen dan kerjasama ini, TNB dapat merealisasikan Visi dan Misi Syarikat.

6. Kesatuan/Persatuan TNB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, kerana amat prihatin terhadap hasrat wargakerja TNB serta berkeyakinan penuh terhadap kebolehan kepimpinan dalaman untuk menerajui TNB.


Sekian, Salam 1Malaysia.