Thursday, January 12, 2012

KESATUAN DAN PERSATUAN HILANG KEYAKINAN KEPADA PRESIDEN/CEO TNB

7 Januari 2012, Proton, Shah Alam : Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari TNBJOU,KPPPTNB & PETNB telah menyampaikan sepucuk surat dan memorandum kepada Perdana Menteri yang mengandungi sebab-sebab utama mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden/CEO TNB.

Sehubungan itu mereka juga mahukan Perdana Menteri menamatkan kontrak perkhidmatan Presiden/CEO TNB dan menggantikannya dengan kepimpinan dalaman TNB yang lebih berwibawa dalam menangani krisis kewangan dan bekalan bahan api di TNB yang berlarutan sejak sekian lama. Tindakan segera oleh Perdana Menteri dapat meningkatkan keyakinan pekerja dan mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat. Selain itu ianya juga bagi mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman berterusan di TNB termasuk piket seluruh negara yang akan menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Sebagai rekod, Kesatuan dan Persatuan pernah menulis surat berhubung isu-isu dalaman TNB pada tahun 2009 dan 2011 kepada Perdana Menteri. Hasil dari surat-surat yang dimajukan itu telah diadakan 2 pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen dan di Pejabat Perdana Menteri pada 4/11/2009 dan 6/1/2010. Meskipun begitu kontrak perkhidmatan Presiden/CEO telah dilanjutkan oleh kerajaan dengan alasan tertentu seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah kepada Kesatuan dan Persatuan ketika itu.

Kali terakhir Kesatuan di TNB menjalankan piket adalah pada tahun 2006 berkaitan isu Bahagian Bacaan Jangka (keahlian TNBJOU)iaitu selepas 2 tahun Dato' Sri Che Khalib dilantik sebagai CEO TNB setelah ditukarkan dari Keretapi Tanah Melayu Berhad. Namun isu hilang kepercayaan terhadap CEO TNB ini adalah dipelopori oleh 2 Kesatuan dan 1 Persatuan di TNB iaitu TNBJOU, KPPPTNB dan PETNB yang merangkumi 25 ribu ahli yg merupakan pekerja bukan teknikal, pekerja teknikal dan Eksekutif TNB. Ini adalah kali pertama dalam sejarah 64 tahun ujudnya Kesatuan dalam perkhidmatan CEB,NEB,LLN dan TNB bergabung tenaga untuk menentang pengurusan yang disifatkan tidak mementingkan golongan bawahan serta mempunyai sifat keegoaan yang tinggi.

Kesatuan dan Persatuan amat memahami kesibukan Perdana Menteri dalam menangani masalah negara ketika ini dan berharap satu maklumbalas segera dapat diambil oleh Perdana Menteri terhadap kandungan surat yang dimajukan.




Surat Kesatuan Dan Persatuan TNB Kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia



Ruj. Kami :
PETNB/KPPPTNB/KPPRTNB 01/11

Tarikh :
6 Januari 2012

Kepada :
YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Daripada :
i) Persatuan Eksekutif TNB (PETNB)
Tenaga Nasional Berhad

ii) Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja (KPPPTNB)
Tenaga Nasional Berhad

iii) Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah (KPPRTNB)
Tenaga Nasional Berhad

YAB Datuk Seri,

KESATUAN DAN PERSATUAN TNB HILANG KEYAKINAN TERHADAP
KEPIMPINAN DATO’ SRI CHE KHALIB SELAKU PRESIDEN/KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
TENAGA NASIONAL BERHAD


Salam hormat dan salam sejahtera YAB Perdana Menteri. Perkara tersebut di atas adalah dirujuk.

2. Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang mewakili lebih 25 ribu ahli-ahli ingin memaklumkan kami semua telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

3. Krisis kekurangan bekalan gas telah berlarutan dari bulan Januari 2011 hingga sekarang dan menyebabkan Syarikat mengalami kerugian berbilion ringgit. Hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas pada 28/12/11 membuktikan Pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak cekap dalam pengurusan bahan api dan telah gagal menyediakan plan tindakan jangkamasa panjang dan jangkamasa pendek yang sesuai bagi mengatasi masalah kekurangan gas.

4. Hal ini bukan sahaja menjejaskan prestasi syarikat dan pekerja malahan turut menyebabkan pelabur gagal mendapat pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang telah dibuat. Adalah dibimbangi keadaan ini lambat laun akan menyebabkan rakyat di negara ini terpaksa menangggung kos peningkatan bahan api dan kehilangan keyakinan pelabur terhadap pengurusan bekalan elektrik negara.

5. Kesatuan dan Persatuan amat bimbang bekalan elektrik negara akan terganggu kerana keadaan stesen janakuasa yang menggunakan bahan api gantian (distillates) kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kesan menggunakan bahan api gantian sejak kira-kira lebih setahun lalu.

6. Sehubungan dengan itu, Kami memohon supaya YAB Perdana Menteri dapat menimbangkan secara serius dengan mengambil tindakan segera memulihkan operasi dan kewangan TNB dengan melantik seorang Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru. Kesatuan dan Persatuan mencadangkan supaya pemimpin dalaman TNB yang lebih berwibawa dilantik ke jawatan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif untuk memastikan perkhidmatan TNB kepada rakyat dan negara dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

7. Bersama-sama ini dilampirkan isu-isu yang menyebabkan Kesatuan dan Persatuan TNB hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad untuk makluman YAB Perdana Menteri.


Sekian, Salam 1Malaysia.

‘RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’





ISU-ISU UTAMA KESATUAN DAN PERSATUAN BERHUBUNG
PENGURUSAN TENAGA NASIONAL BERHAD


Berikut adalah isu-isu utama Kesatuan dan Persatuan Tenaga Nasional Berhad (Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB), Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang menimbulkan rasa tidakpuashati dan menyebabkan kami dan ahli-ahli hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

1. Ketidakcekapan Pengurusan TNB


• Pengurusan bahan api yang tidak cekap hingga menyebabkan TNB mengalami kerugian dan mengakibatkan situasi bekalan elektrik negara berada dalam keadaan tidak selamat. Penggunaan bahan api gantian telah mengakibatkan tarbine janakuasa elektrik gas TNB mengalami keadaan yang tidak selamat dan memungkinkan gangguan bekalan elektrik berlaku kepada negara. Kegagalan menyediakan perancangan jangkamasa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah kekurangan gas bersubsidi dan bahan api.
• Info hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas Berhad pada 28/12/11 membuktikan pihak Petronas telah memaklumkan masalah kekurangan bekalan gas sejak sekian lama kepada TNB tetapi tiada usaha-usaha proaktif dilakukan TNB untuk mengatasinya.
• Kegagalan TNB menjalankan operasi janakuasa berkuasa arang batu telah menyebabkan penggantungan berlebihan terhadap gas bersubsidi.
• Kegagalan mengujudkan hubungan yang baik antara Petronas dan TNB hingga menimbulkan perbalahan melalui media dan memberikan persepsi yang tidak baik terhadap hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
• Pengurusan Petronas selaku pembekal gas bersubsidi kepada TNB telah membuat kenyataan pengurusan TNB tidak cekap dalam menguruskan bahan apinya.

2. Pembatalan Usahasama Pemilikan Lombong Arang Batu di Indonesia


• TNB pernah memegang 92.5% dari TNB Coal International Limited yang mempunyai hak perlombongan arangbatu di Kalimantan, Indonesia.
• Setakat Februari 2009, TNB menggunakan 15.7% arangbatu untuk menjana tenaga dan terpaksa membayar pada harga pasaran yang tinggi bila kenaikan harga arangbatu yang berlaku sekarang.
• Kesan dari penjualan lombong arangbatu di Kalimantan, Indonesia pada tahun 2006 juga telah menyebabkan TNB mengalami kerugian yang banyak dari segi perniagaan, tiada sesiapapun dari pihak pengurusan tertinggi yang mengambil tanggungjawab terhadap kerugian tersebut.
• Mengambilkira kenaikan harga pasaran arangbatu semasa, maka jumlah kerugian yang ditanggung oleh TNB dengan menggunakan gas kini berlipat ganda kepada RM300 - 350 juta setiap bulan.

3. Perlantikan orang luar mengisi jawatan utama dan pertengahan (top and middle management)


• Masih terdapat kekosongan jawatan utama dan pertengahan di TNB diisi dengan melantik pihak-pihak dari luar TNB ke jawatan tersebut. Hal ini menutup peluang kenaikan pangkat anggota kerja dalaman dan sekaligus mengenepikan peranan yang mampu dilakukan oleh pengurusan dalaman TNB.
• Kegagalan melantik calun-calun yang layak dari dalam TNB membuktikan pengurusan Dato’ Sri Che Khalib tidak mempunyai keyakinan terhadap pekerja TNB sendiri.

4. Arahan membatalkan bacaan meter setiap bulan (By Monthly Reading)

• Kesatuan membantah pelaksanaan bacaan secara By Monthly Reading yang diperkenalkan oleh pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad kerana ianya membebankan pengguna.
• Bacaan meter setiap bulan secara normal telah dibatalkan dan ditukar secara berselang seli dengan bil anggaran yang dihantar melalui Syarikat Pos Malaysia.
• Kegagalan bacaan meter setiap bulan menyebabkan jumlah aduan dari rakyat terhadap mutu perkhidmatan TNB telah meningkat secara mendadak.
• Rakyat mempersoalkan kredibiliti TNB dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

5. Outsourcing dan Kerja-Kerja Kontrak

• Kerja-kerja utama termasuk Penyambung Kabel, Pekerja Talian Atas, Pekerja Pencawang, Juruwang, Pemotong Bekalan, Operator Pusat Panggilan Pengguna dikontrakkan meskipun jawatan tersebut telah termaktub dalam Perjanjian Kolektif tanpa persetujuan Kesatuan dan Persatuan.
• Pekerja-pekerja TNB kini beransur-ansur hilang kepakaran dan kompetensi kerana hanya menjalankan kerja-kerja penyeliaan sahaja. Kerja-kerja utama telah diambilalih oleh pihak kontraktor.
• TNB kini bergantung kepada khidmat kontraktor untuk menjalankan operasinya.
• Terdapat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang tidak menepati tahap spesifikasi dan kualiti TNB sehingga menyebabkan kekerapan kerosakan dan anggota kerja TNB terpaksa melakukan semula kerja-kerja berkenaan.

6. Pengisian Kekosongan Jawatan

• Pihak syarikat juga gagal mengisi kekosongan jawatan yang ujud kesan dari persaraan pekerja dan tambahan beban kerja yang berlaku.
• Peningkatan beban kerja yang ketara kerana bilangan anggota kerja tidak ditambah selari dengan peningkatan pengguna.

7. Halangan terhadap aktiviti Kesatuan

• Kesatuan dan Persatuan TNB telah dihalang untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama ahli-ahli di premis dewan TNB, Paka, Terengganu.
• Permohonan cuti atas urusan Kesatuan untuk tujuan Lawatan Kerja ke Petronas Gas Berhad, Paka dan perjumpaan bersama ahli-ahli di Paka, Terengganu telah dibatalkan disaat-saat akhir program dilakukan.
• Kesatuan dan Persatuan TNB terpaksa menumpang ruangan masjid di Kg Pinang Merah, Paka untuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli.
• Kesatuan dan Persatuan juga terpaksa mengadakan kutipan derma kilat bagi membiyai program perjumpaan tersebut.
• Insiden ini membuktikan pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak mengutamakan Keharmonian dalam Perhubungan Perusahaan.

Sebelum itu CEO juga telah menggunakan kesempatannya berucap semasa merasmikan Mesyuarat Agung PERUNIKA di Johor Bahru untuk menempelak kepimpinan Kesatuan dan Persatuan yang hadir dalam majlis tersebut semata-mata kerana beliau merasa marah terhadap tuntutan bonus muktamad yang dibuat oleh Kesatuan dan Persatuan TNB. Hal ini membuktikan CEO tidak rasional dalam tindakannya kerana tidak menghormati majlis dan kepimpinan utama Kesatuan dan Persatuan TNB.


Penutup dan Syor

Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) dengan ini mengambil ketetapan,

1. Kerajaan melantik segera Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru untuk Tenaga Nasional Berhad

2. Tujuh isu utama yang tersenarai diambil tindakan susulan dan diselesaikan bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan anggota kerja terhadap organisasi TNB.


Dengan Ini, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) memohon perhatian YAB Perdana Menteri membantu menyelesaikan isu-isu yang dinyatakan pada kadar segera.

Ianya juga bagi mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat dan keyakinan terhadap anggota kerja TNB untuk mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman yang boleh menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Perhatian dan tindakan sewajarnya dari Y.A.B Perdana Menteri amatlah dihargai.

4 comments:

  1. Tak boleh ke semua masalah tu diselesaikan melalui rundingan dalaman? Sampai kena minta PM selesaikan.... korangpun tahu kan PM tu mcm2 dalam kepala dia x habis nak pikir....hehe.. Teruk sangat ke CEO TNB.. ntahlah setahu aku CEO TNB adalah antara CEO paling lama meneraju sesebuah GLC... kalau tak bagus takkan boleh bertahan lama dan dengarnya banyak dapat award pulak tu. Kesimpulannya... perkara2 yg dibangkitkan tu bagi aku remeh-temeh aje, boleh diselesaikan secara harmoni dalam TNB.... alahai setakat tarik borang cuti pon nak bagitau PM, malu kompeni jer... company aku ramai kena buang kerjapun takde yg bela.. nasiblah. Apapun jangan korang mogok dah nanti rumah aku bergelap plak macamana nak tgk bola... hhaha... TNB OH TNB

    ReplyDelete
    Replies
    1. tnb union-less talk..please take more action 2..

      Delete
  2. 5. Outsourcing dan Kerja-Kerja Kontrak
    - • Pekerja-pekerja kini beransur-ansur hilang kepakaran dan kompetensi kerana hanya menjalankan kerja-kerja penyeliaan sahaja. Kerja-kerja utama telah diambilalih oleh pihak kontraktor.
    • bergantung kepada khidmat kontraktor untuk menjalankan operasinya.
    • Terdapat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang tidak menepati tahap spesifikasi dan kualiti sehingga menyebabkan kekerapan kerosakan dan anggota kerja terpaksa melakukan semula kerja-kerja berkenaan

    6. Pengisian Kekosongan Jawatan
    - Peningkatan beban kerja yang ketara kerana bilangan anggota kerja tidak ditambah selari dengan peningkatan pengguna.


    GLC lain pun sama la bro.. TNB-NB=T+MB ..patut anggota nak pencen lagi 1,2 tahun dah ada staff pelapis.apa yg jadik staff dah pencen 2,3 tahun baru nak cari pengganti.

    kontraktor buat semua kerja sbb GLC konon nak bagi business utk malaysian, bumi etc..mmg npk labour cost murah tapi yg x nampak??? kerja tanam 1 tiang kalau staff buat brp kos?? kalau kontraktor buat,maunya habis banyak. GLC banyak habiskan duit n rugi semata2 kontraktor.

    wei bos, apa lu ingat kalau staff sendiri buat kerja,staff dpt experience etc then lari masuk company lain dgn experience tu.sbb tu lu kasik kontraktor sbb mau kasik staff jadik bodoh.

    apa yg aku nampak mamagement GLC byk genX.. mau setel problem ok tapi genX punya idea nak majukan company ambik masa beribu tahun utk setel..lu cakap hari ni punya problem,setel hari ni..besok punya problem,itu besok punya cerita..

    Dah la tu genX..berenti berenti la.. bagi kami genY pulak manage company.. besok punya problem hari ni kami setel sbb besok kami nak rilek.

    ReplyDelete