Thursday, January 26, 2012

Kesatuan: Piket, jika TNB tidak selesai 4 isu


Thursday, January 26, 2012

Wartawan Sinar Harian
January 25, 2012
TNB


SHAH ALAM - Dua kesatuan dan persatuan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi kata dua kepada pengurusan mereka agar menyelesaikan empat tuntutan penting berkaitan pertikaian perhubungan perusahaan menjelang 24 Februari ini dan jika tidak akan mengadakan piket.

Pendirian itu diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama kesatuan dan persatuan TNB di ibu negara hari ini.

Malah jawatankuasa itu juga memutuskan untuk menggesa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh supaya berundur dan turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menyambung kontrak beliau, yang dijangka akan tamat Jun ini.

"Perkara ini kami telah putuskan pada mesyuarat jawatankuasa bersama hari ini dan akan menghantar senarai tuntutan kepada pengurusan TNB dan juga surat kepada Perdana Menteri pada 3 Februari ini," kata Setiausaha Jawatankuasa Bersama Mohd Roszeli Majid ketika dihubungi hari ini.

"Kami juga mahu memberi masa yang mencukupi kepada pengurusan untuk bertindak menyelesaikan senarai tuntutan kami. Selain itu, mengikut undang-undang, jika mahu mengadakan piket, kami perlu memberi notis 14 hari kepada pengurusan," kata beliau yang juga Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB.

Katanya, "kami kesatuan dan persatuan yang bertanggungjawab dan mahu memberi majikan masa yang cukup untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit."

Menurut beliau, ini kali pertama kesemua kesatuan-kesatuan dan persatuan dalam TNB bersatu memutuskan untuk mengambil tindakan berpiket.

Kali terakhir kesatuan TNB berpiket adalah pada 1996.

Ketiga-tiga kesatuan dan persatuan terdiri daripada Kesatuan Pegawai-pegawai Rendah TNB, Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB dan Persatuan Eksekutif TNB - dianggotai sekitar 25,000 pekerja.

"Berlanjutan dari surat yang dihantar oleh kesatuan dan persatuan TNB kepada Perdana Menteri, berikut adalah isu-isu yang menyebabkan Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB dalam mesyuaratnya hari ini mengambil ketetapan untuk mengisytiharkan pertikaian perusahaan terhadap pengurusan TNB.

"Untuk makluman, surat kepada Perdana Menteri masih belum mendapat sebarang maklum balas sehingga ke tarikh hari ini. Ini adalah kali ketiga kesatuan dan persatuan TNB menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung isu-isu pengurusan CEO TNB iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2012," katanya lagi.

Antara isu yang menjadi pertikaian ialah penyumberan keluar dan penswastaan perkhidmatan, pengambilan eksekutif baru tidak mematuhi Perjanjian Bersama (CA), pemangkuan sementara untuk kenaikan pangkat melebihi tujuh bulan seperti yang dimaktubkan dalam CA dan peletakan jawatan tertakluk kepada kelulusan Naib Presiden Sumber Manusia tanpa berunding dengan Persatuan Eksekutif TNB dan pengagihan bonus muktamad tahun kewangan 2010/2011 ditolak dari bonus syarikat.

Perjanjian kolektif 2011/2013 menyatakan bahawa bayaran bonus tahunan kepada pekerja-pekerja yang telah disahkan jawatan kemungkinan berdasarkan prestasi syarikat dan individu.

Katanya, tindakan pengurusan memotong bonus syarikat dari bonus muktamad pekerja adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemberian bonus.

"Bonus syarikat tidak pernah diambil kira dalam bayaran bonus muktamad. Bonus syarikat adalah pemberian sama rata hasil peningkatan produktiviti tetapi bonus muktamad adalah berdasarkan prestasi individu dan syarikat," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kesatuan-piket-jika-tnb-tidak-selesai-4-isu-1.20089?fb_comment_id=fbc_10151199693810344_29796856_10151199877775344#f2c94875d64f4f6

Monday, January 16, 2012

Majlis Jawatankuasa Tertinggi UNI-MLC Sokong Kesatuan & Persatuan TNB!


Assalaa mua'laikum wa-Rahmatul-laahi wa-Barakaatuh

Saudara,

Bagi pihak Majlis Jawatankuasa Tertinggi UNI-MLC bersama 66 buah Kesatuan Gabungan dengan keahlian 250,000 kami secara terbuka menyokong krisis yang dihadapi oleh Kesatuan dan Persatuan TNB.

Teruskan Perjuangan, kami doakan semoga saudara dan rakan-rakan lain akan terus cekal menghadapi apa saja ujian, InsyaAllah, Allah S.W.T. akan menyebelahi kepada kebenaran.

Jika saudara memerlukan apa-apa bantuan, sila hubungi saya pada bila-bila masa dan saya bersedia membantunya.

Sekian dan salam hormat

MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Presiden
Majlis Perhubungan Rangkaian
Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)
& Kongres Kesatuan-Kesatuan Sekerja
Dalam Syarikat GLC

Bangunan PSM, UNI Global Union-Malaysia
No. 17B, 1st Floor,
Jalan Bangsar, 59200 Kuala Lumpur
Tel : +603- 2284 1232 / +603- 2284 2232
Fax : +603- 2282 0555
H/P : +6013- 393 0110
Email : unimlc@streamyx.com / bpshafie@tm.net.my / shafie@asetuc.org
Web : www.uni-mlc.blogspot.com

Thursday, January 12, 2012

KESATUAN DAN PERSATUAN HILANG KEYAKINAN KEPADA PRESIDEN/CEO TNB

7 Januari 2012, Proton, Shah Alam : Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari TNBJOU,KPPPTNB & PETNB telah menyampaikan sepucuk surat dan memorandum kepada Perdana Menteri yang mengandungi sebab-sebab utama mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden/CEO TNB.

Sehubungan itu mereka juga mahukan Perdana Menteri menamatkan kontrak perkhidmatan Presiden/CEO TNB dan menggantikannya dengan kepimpinan dalaman TNB yang lebih berwibawa dalam menangani krisis kewangan dan bekalan bahan api di TNB yang berlarutan sejak sekian lama. Tindakan segera oleh Perdana Menteri dapat meningkatkan keyakinan pekerja dan mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat. Selain itu ianya juga bagi mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman berterusan di TNB termasuk piket seluruh negara yang akan menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Sebagai rekod, Kesatuan dan Persatuan pernah menulis surat berhubung isu-isu dalaman TNB pada tahun 2009 dan 2011 kepada Perdana Menteri. Hasil dari surat-surat yang dimajukan itu telah diadakan 2 pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen dan di Pejabat Perdana Menteri pada 4/11/2009 dan 6/1/2010. Meskipun begitu kontrak perkhidmatan Presiden/CEO telah dilanjutkan oleh kerajaan dengan alasan tertentu seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah kepada Kesatuan dan Persatuan ketika itu.

Kali terakhir Kesatuan di TNB menjalankan piket adalah pada tahun 2006 berkaitan isu Bahagian Bacaan Jangka (keahlian TNBJOU)iaitu selepas 2 tahun Dato' Sri Che Khalib dilantik sebagai CEO TNB setelah ditukarkan dari Keretapi Tanah Melayu Berhad. Namun isu hilang kepercayaan terhadap CEO TNB ini adalah dipelopori oleh 2 Kesatuan dan 1 Persatuan di TNB iaitu TNBJOU, KPPPTNB dan PETNB yang merangkumi 25 ribu ahli yg merupakan pekerja bukan teknikal, pekerja teknikal dan Eksekutif TNB. Ini adalah kali pertama dalam sejarah 64 tahun ujudnya Kesatuan dalam perkhidmatan CEB,NEB,LLN dan TNB bergabung tenaga untuk menentang pengurusan yang disifatkan tidak mementingkan golongan bawahan serta mempunyai sifat keegoaan yang tinggi.

Kesatuan dan Persatuan amat memahami kesibukan Perdana Menteri dalam menangani masalah negara ketika ini dan berharap satu maklumbalas segera dapat diambil oleh Perdana Menteri terhadap kandungan surat yang dimajukan.




Surat Kesatuan Dan Persatuan TNB Kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia



Ruj. Kami :
PETNB/KPPPTNB/KPPRTNB 01/11

Tarikh :
6 Januari 2012

Kepada :
YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Daripada :
i) Persatuan Eksekutif TNB (PETNB)
Tenaga Nasional Berhad

ii) Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja (KPPPTNB)
Tenaga Nasional Berhad

iii) Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah (KPPRTNB)
Tenaga Nasional Berhad

YAB Datuk Seri,

KESATUAN DAN PERSATUAN TNB HILANG KEYAKINAN TERHADAP
KEPIMPINAN DATO’ SRI CHE KHALIB SELAKU PRESIDEN/KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
TENAGA NASIONAL BERHAD


Salam hormat dan salam sejahtera YAB Perdana Menteri. Perkara tersebut di atas adalah dirujuk.

2. Kesatuan dan Persatuan TNB yang terdiri dari Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang mewakili lebih 25 ribu ahli-ahli ingin memaklumkan kami semua telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

3. Krisis kekurangan bekalan gas telah berlarutan dari bulan Januari 2011 hingga sekarang dan menyebabkan Syarikat mengalami kerugian berbilion ringgit. Hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas pada 28/12/11 membuktikan Pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak cekap dalam pengurusan bahan api dan telah gagal menyediakan plan tindakan jangkamasa panjang dan jangkamasa pendek yang sesuai bagi mengatasi masalah kekurangan gas.

4. Hal ini bukan sahaja menjejaskan prestasi syarikat dan pekerja malahan turut menyebabkan pelabur gagal mendapat pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang telah dibuat. Adalah dibimbangi keadaan ini lambat laun akan menyebabkan rakyat di negara ini terpaksa menangggung kos peningkatan bahan api dan kehilangan keyakinan pelabur terhadap pengurusan bekalan elektrik negara.

5. Kesatuan dan Persatuan amat bimbang bekalan elektrik negara akan terganggu kerana keadaan stesen janakuasa yang menggunakan bahan api gantian (distillates) kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal kesan menggunakan bahan api gantian sejak kira-kira lebih setahun lalu.

6. Sehubungan dengan itu, Kami memohon supaya YAB Perdana Menteri dapat menimbangkan secara serius dengan mengambil tindakan segera memulihkan operasi dan kewangan TNB dengan melantik seorang Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru. Kesatuan dan Persatuan mencadangkan supaya pemimpin dalaman TNB yang lebih berwibawa dilantik ke jawatan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif untuk memastikan perkhidmatan TNB kepada rakyat dan negara dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

7. Bersama-sama ini dilampirkan isu-isu yang menyebabkan Kesatuan dan Persatuan TNB hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad untuk makluman YAB Perdana Menteri.


Sekian, Salam 1Malaysia.

‘RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’





ISU-ISU UTAMA KESATUAN DAN PERSATUAN BERHUBUNG
PENGURUSAN TENAGA NASIONAL BERHAD


Berikut adalah isu-isu utama Kesatuan dan Persatuan Tenaga Nasional Berhad (Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB), Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) yang menimbulkan rasa tidakpuashati dan menyebabkan kami dan ahli-ahli hilang keyakinan terhadap kepimpinan Pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad.

1. Ketidakcekapan Pengurusan TNB


• Pengurusan bahan api yang tidak cekap hingga menyebabkan TNB mengalami kerugian dan mengakibatkan situasi bekalan elektrik negara berada dalam keadaan tidak selamat. Penggunaan bahan api gantian telah mengakibatkan tarbine janakuasa elektrik gas TNB mengalami keadaan yang tidak selamat dan memungkinkan gangguan bekalan elektrik berlaku kepada negara. Kegagalan menyediakan perancangan jangkamasa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah kekurangan gas bersubsidi dan bahan api.
• Info hasil lawatan Kesatuan dan Persatuan TNB ke Petronas Gas Berhad pada 28/12/11 membuktikan pihak Petronas telah memaklumkan masalah kekurangan bekalan gas sejak sekian lama kepada TNB tetapi tiada usaha-usaha proaktif dilakukan TNB untuk mengatasinya.
• Kegagalan TNB menjalankan operasi janakuasa berkuasa arang batu telah menyebabkan penggantungan berlebihan terhadap gas bersubsidi.
• Kegagalan mengujudkan hubungan yang baik antara Petronas dan TNB hingga menimbulkan perbalahan melalui media dan memberikan persepsi yang tidak baik terhadap hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
• Pengurusan Petronas selaku pembekal gas bersubsidi kepada TNB telah membuat kenyataan pengurusan TNB tidak cekap dalam menguruskan bahan apinya.

2. Pembatalan Usahasama Pemilikan Lombong Arang Batu di Indonesia


• TNB pernah memegang 92.5% dari TNB Coal International Limited yang mempunyai hak perlombongan arangbatu di Kalimantan, Indonesia.
• Setakat Februari 2009, TNB menggunakan 15.7% arangbatu untuk menjana tenaga dan terpaksa membayar pada harga pasaran yang tinggi bila kenaikan harga arangbatu yang berlaku sekarang.
• Kesan dari penjualan lombong arangbatu di Kalimantan, Indonesia pada tahun 2006 juga telah menyebabkan TNB mengalami kerugian yang banyak dari segi perniagaan, tiada sesiapapun dari pihak pengurusan tertinggi yang mengambil tanggungjawab terhadap kerugian tersebut.
• Mengambilkira kenaikan harga pasaran arangbatu semasa, maka jumlah kerugian yang ditanggung oleh TNB dengan menggunakan gas kini berlipat ganda kepada RM300 - 350 juta setiap bulan.

3. Perlantikan orang luar mengisi jawatan utama dan pertengahan (top and middle management)


• Masih terdapat kekosongan jawatan utama dan pertengahan di TNB diisi dengan melantik pihak-pihak dari luar TNB ke jawatan tersebut. Hal ini menutup peluang kenaikan pangkat anggota kerja dalaman dan sekaligus mengenepikan peranan yang mampu dilakukan oleh pengurusan dalaman TNB.
• Kegagalan melantik calun-calun yang layak dari dalam TNB membuktikan pengurusan Dato’ Sri Che Khalib tidak mempunyai keyakinan terhadap pekerja TNB sendiri.

4. Arahan membatalkan bacaan meter setiap bulan (By Monthly Reading)

• Kesatuan membantah pelaksanaan bacaan secara By Monthly Reading yang diperkenalkan oleh pengurusan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor selaku Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad kerana ianya membebankan pengguna.
• Bacaan meter setiap bulan secara normal telah dibatalkan dan ditukar secara berselang seli dengan bil anggaran yang dihantar melalui Syarikat Pos Malaysia.
• Kegagalan bacaan meter setiap bulan menyebabkan jumlah aduan dari rakyat terhadap mutu perkhidmatan TNB telah meningkat secara mendadak.
• Rakyat mempersoalkan kredibiliti TNB dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

5. Outsourcing dan Kerja-Kerja Kontrak

• Kerja-kerja utama termasuk Penyambung Kabel, Pekerja Talian Atas, Pekerja Pencawang, Juruwang, Pemotong Bekalan, Operator Pusat Panggilan Pengguna dikontrakkan meskipun jawatan tersebut telah termaktub dalam Perjanjian Kolektif tanpa persetujuan Kesatuan dan Persatuan.
• Pekerja-pekerja TNB kini beransur-ansur hilang kepakaran dan kompetensi kerana hanya menjalankan kerja-kerja penyeliaan sahaja. Kerja-kerja utama telah diambilalih oleh pihak kontraktor.
• TNB kini bergantung kepada khidmat kontraktor untuk menjalankan operasinya.
• Terdapat kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang tidak menepati tahap spesifikasi dan kualiti TNB sehingga menyebabkan kekerapan kerosakan dan anggota kerja TNB terpaksa melakukan semula kerja-kerja berkenaan.

6. Pengisian Kekosongan Jawatan

• Pihak syarikat juga gagal mengisi kekosongan jawatan yang ujud kesan dari persaraan pekerja dan tambahan beban kerja yang berlaku.
• Peningkatan beban kerja yang ketara kerana bilangan anggota kerja tidak ditambah selari dengan peningkatan pengguna.

7. Halangan terhadap aktiviti Kesatuan

• Kesatuan dan Persatuan TNB telah dihalang untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama ahli-ahli di premis dewan TNB, Paka, Terengganu.
• Permohonan cuti atas urusan Kesatuan untuk tujuan Lawatan Kerja ke Petronas Gas Berhad, Paka dan perjumpaan bersama ahli-ahli di Paka, Terengganu telah dibatalkan disaat-saat akhir program dilakukan.
• Kesatuan dan Persatuan TNB terpaksa menumpang ruangan masjid di Kg Pinang Merah, Paka untuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli.
• Kesatuan dan Persatuan juga terpaksa mengadakan kutipan derma kilat bagi membiyai program perjumpaan tersebut.
• Insiden ini membuktikan pengurusan TNB di bawah kepimpinan Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Nor tidak mengutamakan Keharmonian dalam Perhubungan Perusahaan.

Sebelum itu CEO juga telah menggunakan kesempatannya berucap semasa merasmikan Mesyuarat Agung PERUNIKA di Johor Bahru untuk menempelak kepimpinan Kesatuan dan Persatuan yang hadir dalam majlis tersebut semata-mata kerana beliau merasa marah terhadap tuntutan bonus muktamad yang dibuat oleh Kesatuan dan Persatuan TNB. Hal ini membuktikan CEO tidak rasional dalam tindakannya kerana tidak menghormati majlis dan kepimpinan utama Kesatuan dan Persatuan TNB.


Penutup dan Syor

Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) dengan ini mengambil ketetapan,

1. Kerajaan melantik segera Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baru untuk Tenaga Nasional Berhad

2. Tujuh isu utama yang tersenarai diambil tindakan susulan dan diselesaikan bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan anggota kerja terhadap organisasi TNB.


Dengan Ini, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB), Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah TNB (KPPRTNB) dan Persatuan Eksekutif TNB (PETNB) memohon perhatian YAB Perdana Menteri membantu menyelesaikan isu-isu yang dinyatakan pada kadar segera.

Ianya juga bagi mengujudkan persepsi positif atas keprihatinan pihak kerajaan selaku pemegang saham terbesar Syarikat dan keyakinan terhadap anggota kerja TNB untuk mengelakkan ujudnya pertikaian dalaman yang boleh menggugat Keharmonian Perhubungan Perusahaan di Tenaga Nasional Berhad.

Perhatian dan tindakan sewajarnya dari Y.A.B Perdana Menteri amatlah dihargai.

PERJUMPAAN KESATUAN PERSATUAN BERSAMA AHLI-AHLI TNB PAKA DIHALANG!



28 December 2011 - Pemimpin Utama TNBJOU & KPPPTNB terpaksa mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli TNB Paka, Terengganu di dewan masjid setelah pihak TNB membatalkan kebenaran untuk sesi perjumpaan tersebut diadakan di premis TNB.

Ahli-ahli telah melakukan derma kilat bagi menampung kos sewaan dewan dan makan
minum program tersebut. Halangan juga dikenakan ke atas pemimpin Kesatuan dan Persatuan dengan tidak meluluskan cuti Kesatuan untuk program Lawatan Kerja ke Petronas dan sesi perjumpaan dengan ahli-ahli tersebut. Kesatuan menganggap tindakan-tindakan majikan sejak mutakhir ini adalah satu peristiharaan ‘perang’ ke atas aktiviti Kesatuan dan Persatuan di TNB.

KESATUAN DAN PERSATUAN TNB TIDAK AKAN HADIRI MAJLIS TNB


3 Januari 2012
: Kesatuan dan Persatuan TNB memutuskan secara bersama dan bersetuju tidak akan menghadiri mana-mana majlis rasmi yang melibatkan Dato' Sri Che Khalib Mohamad Nor - Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB. Tindakan ini diambil selari dengan keputusan memajukan isu-isu TNB dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan CEO TNB kepada Perdana Menteri.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB itu juga sebelum ini telah menggunakan ruang ucapannya di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERUNIKA di Hotel Selesa, Johor Baharu untuk menempelak pemimpin-pemimpin Kesatuan kesan dari ketidak puasan hatinya terhadap desakan Kesatuan / Persatuan TNB mengenai isu bayaran bonus. Malahan beliau telah merendahkan imej dan kredibiliti pemimpin-pemimpin utama Kesatuan / Persatuan TNB di majlis tersebut dengan mengumpamakan mereka sebagai juara kampung atau dalaman semata-mata kerana pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB tidak menyatakan sokongan terhadap syarikat apabila TNB dituduh sebagai 'tidak effision' oleh CEO Petronas.

Kesatuan / Persatuan TNB terpaksa bertindak untuk mempertahankan maruah organisasi Kesatuan / Persatuan dan memulihkan keyakinan ahli-ahli terhadap peranan Kesatuan / Persatuan TNB yang telah ujud sejak 64 tahun lalu. Sudah banyak kali insiden demi insiden pergeseran antara Kesatuan / Persatuan dan CEO TNB berlaku sejak hampir 8 tahun lalu tetapi pihak Kesatuan / Persatuan TNB telah cuba mengamalkan sikap toleransi yang tinggi, namun sejak akhir-akhir ini serangan terhadap pemimpin Kesatuan / Persatuan TNB telah melampaui sempadan yang meminggirkan Keharmonian Dalam Perhubungan Perusahaan.

LAWATAN KESATUAN DAN PERSATUAN TNB KE PETRONAS GAS BHD



28December 2011 Kerteh, Terengganu : Seramai 14 Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB telah melakukan lawatan Kerja sehari ke Petronas Gas Bhd meskipun terdapat usaha-usaha mengenakan sekatan terhadap program tersebut dari pengurusan TNB. Lawatan Kerja ini bertujuan menjalin ukhuwah antara Kesatuan dan Persatuan TNB dengan Pengurusan Petronas Gas Berhad dan Kesatuan Pekerja Petronas (KAPENAS).

Mereka telah disambut mesra oleh Tn Hj Rashid Muhamad (Pengurus Besar Kanan) dan Pengurusan tertinggi Petronas Gas Bhd dan En Maliki - Presiden KAPENAS. Selain dari taklimat penuh terdapat juga beberapa info penting telah dimaklumkan oleh Pengurusan Petronas Gas Bhd terhadap punca masalah dan perancangan bekalan gas negara. Kesatuan juga mendapatkan penjelasan terhadap kenyataan media CEO Petronas berhubung ‘ketidak cekapan Pengurusan TNB’ seperti dilaporkan media.

Lawatan diakhiri dengan taklimat di tapak logi bekalan dan pusat kawalan gas selepas sesi makan tengahari dan bertukar cenderahati sebagai tanda kerjasama antara Kesatuan Persatuan TNB dan pihak Petronas Gas Bhd.TNBJOU ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khas kepada CEO Petronas, CEO Petronas Gas Bhd, Pengurus Besar Kanan Petronas Gas Bhd, seluruh Eksekutif Kanan Petronas Gas Bhd dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Petronas (KAPENAS) atas sambutan baik yang diberikan serta program yang berjalan lancar pada hari lawatan.