Thursday, March 22, 2012

ISU PERLANTIKAN CEO TNB & TRADE DISPUTES - EXCO TNBJOU LULUSKAN TINDAKAN PIKET




Kuala Lumpur 12 March 2012 - Mesyuarat EXCO TNBJOU yang dihadiri 67 ahli EXCO dari 22 cawangan seluruh negara telah memutuskan mengambil tindakan PIKET jika usaha-usaha mengembalikan kepimpinan TNB kepada 'orang dalam' dan isu 'trade disputes' gagal mencapai matlamat untuk melindungi kepentingan pekerja dan syarikat.

Mesyuarat yang dijalankan selama sehari suntuk itu juga meluluskan perbelanjaan kepada Kesatuan Pusat untuk melaksanakan tindakan tersebut. Ahli-ahli EXCO telah membincangkan secara meluas segala implikasi tindakan yang akan diambil dan sepakat serta sebulat suara berikrar untuk melaksanakannya. Malahan terdapat komitmen ahli EXCO untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengatur kehadiran beramai-ramai ahli dengan bas dari seluruh pelusuk negeri bagi menyertai piket jika ianya terpaksa dilaksanakan. Kali terakhir TNBJOU menganjurkan piket adalah pada tahun 2006 kerana isu di bahagian bacaan jangka dan jika piket kali ini dilaksanakan ianya akan didahului dilaksanakan di persekitaran jalan Bangsar sebelum ianya dianjurkan di seluruh negeri secara bersiri seperti yang dirancang.

Sementara itu sebuah lagi Kesatuan di TNB iaiatu Kesatuan Pecantuman Pekerja TNB dijangka membuat keputusan yang selari dalam mesyuarat EXCO mereka yang dilangsungkan pada akhir minggu ini di Pulau Pinang. Adalah difahamkan Persatuan Executive TNB (PETNB) telah membuat keputusan baru-baru ini dalam mesyuarat EXCOnya berhubung perkara yang sama. Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB akan segera bermesyuarat apabila perlantikan CEO baru diumumkan kelak oleh kerajaan. Ahli-ahli diminta menunggu isyarat dan arahan rasmi Kesatuan berhubung isu-isu semasa ini serta mengelakkan dari mempercayai sebarang khabar angin atau sebarang provokasi dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mungkin akan menimbulkan implikasi negatif.

No comments:

Post a Comment