Wednesday, December 21, 2011
KESATUAN & PERSATUAN TNB (TNBJOU,K3P,PETNB) MENCARI KEBENARAN DI PETRONAS GAS....
21 December 2011- Tenaga Nasional Junior Officer Union, Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB & Persatuan Eksekutif TNB akan mengadakan Lawatan Kerja ke Loji Petronas Gas, Kerteh, Terengganu pada 28 December 2011 bagi mendapatkan maklumat berhubung isu-isu berkaitan bekalan gas antara TNB dan Petronas. Lawatan Kerja ini akan dihadiri 16 Pemimpin Utama Kesatuan dan Persatuan TNB. Berdasarkan urusan yang selesai dimuktamadkan dengan pejabat CEO Petronas dan Petronas Gas, program lawatan kerja tersebut akan membuka ruang kepada pemimpin Kesatuan dan Persatuan TNB untuk memahami operasi Petronas Gas.
Baru-baru ini CEO Petronas telah mengeluarkan kenyataan media yang merujuk kepada pengurusan TNB sebagai tidak cekap. Adalah penting bagi Kesatuan dan Persatuan TNB mendapatkan penjelasan dari pihak tersebut bagi mengelakkan tuduhan tersebut dari terus mencemar dan menjejaskan imej syarikat dan pekerjanya. Lawatan ini juga adalah sebagai menyambut cabaran CEO TNB semasa merasmikan Persidangan PERUNIKA di Johor Baharu baru-baru ini dimana beliau mengulas secara sinis dengan mengatakan Kesatuan dan Persatuan TNB hanya merupakan 'jaguh dalaman' tetapi tidak melakukan apa-apa apabila Pengurusan TNB dituduh sebagai tidak cekap oleh Petronas.
Disamping itu, Kesatuan dan Persatuan TNB akan mendapatkan info terkini berhubung krisis bekalan gas dan mengenalpasti punca masalah sebenar yang berlaku supaya tidak mudah terkeliru dengan kenyataan demi kenyataan dari mana-mana pihak tanpa menyelidiki sendiri kesahihan faktanya yang dinyatakan.
Program lawatan ini juga bertujuan memperkukuhkan ikatan ukhuwah antara Kesatuan/
Persatuan TNB dan Kesatuan Pekerja Petronas - KAPENAS. Sehubungan dengan itu Kesatuan / Persatuan TNB akan mengadakan majlis Ramah Mesra dan jamuan makan malam bersama pegawai-pegawai Kesatuan KAPENAS.
Perancangan juga sedang dilakukan untuk membolehkan 16 pemimpin utama Kesatuan/
Persatuan TNB mengadakan sesi taklimat dan perjumpaan dengan ahli-ahli di Stesen Janaletrik PAKA, Terengganu terhadap isu-isu semasa di TNB.
Kesatuan / Persatuan TNB akan bergerak ke selatan tanahair mulai pertengahan bulan Januari 2012 bagi Program Taklimat Bersama Kesatuan dan Persatuan dalam usaha mempertingkatkan kesedaran ahli-ahli terhadap isu-isu semasa yang sedang dihadapi TNB. Semua program yang dirancang adalah usaha yang akan dijayakan bersama dan telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB yang bermesyuarat pada 21/12/11 di pejabat TNBJOU.
Ahli-ahli akan dimaklumkan dari masa kesemasa jadual program lawatan pemimpin Kesatuan dan Persatuan ke kawasan masing-masing melalui pegawai-pegawai cawangan Kesatuan dan Persatuan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Syabas diucapkan.
ReplyDelete