Monday, January 3, 2011

Perutusan Presiden TNBJOU-Selamat Tahun Baru 2011

TNBJOU melangkah ke Tahun Baru 2011 dengan iltizam untuk melihat Kesatuan ini terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahlinya sepertimana yang telah dibuktikan sejak 64 tahun lalu. Ahli-ahli Kesatuan perlu mengambil iktibar dari ketidaktentuan ekonomi global sebagai satu dorongan untuk mempertingkatkan perkhidmatan di TNB.

Peluang berkhidmat di TNB hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan industri perbekalan elektrik kekal dikuasai TNB bagi kesinambungan generasi yang akan datang. Seperti yang kita ketahui, TNB kini berada dilandasan yang cukup kukuh dan bersedia mengharungi cabaran saingan dalam industri ini. Kesatuan yakin TNB tidak akan dapat berdiri teguh sedemikian rupa jika tanpa bantuan dan dokongan ahli-ahli TNBJOU yang turut merupakan pekerja sokongan di Syarikat ini.

Ahli-ahli TNBJOU hendaklah mengelakkan dari melanggar peraturan atau melakukan salahlaku tatatertib dalam memastikan integriti diri sentiasa terpelihara. Perkhidmatan kepada pelanggan hendaklah diutamakan terutama bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan.

Kesatuan menyedari kesan peningkatan kos sara hidup turut dirasai oleh ahli-ahli. Sehubungan itu Kesatuan akan terus memastikan supaya segala faedah dan terma perkhidmatan TNB ditingkatkan dalam rundingan Perjanjian Kolektif yang akan datang bagi membalas kesetiaan ahli-ahli terhadap Kesatuan dan Syarikat serta menyahut saranan kerajaan bagi mengujudkan pekerja berpendapatan tinggi.
Moga tahun 2011 merupakan tahun yang lebih baik buat semua ahli-ahli TNBJOU yang berkhidmat di Syarikat ini.

No comments:

Post a Comment