Sunday, February 6, 2011

Tan Sri Leo Moggie disambung 2 tahun sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan pelanjutan tempoh perkhidmatan Y.Bhg. Tan Sri Leo Moggie sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TNB bagi dua tahun lagi bermula 12 Mac 2011.

Y.Bhg. Tan Sri Leo Moggie sebelum ini juga telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TNB pada 12 April 2004.

Beliau memiliki Sarjana Sastera dalam bidang Sejarah dari University of Otago, New Zealand dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Pennsylvania State University, Amerika Syarikat. Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penamaan dan Ganjaran Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Lembaga Pengarah.

Tan Sri Leo Moggie telah menyandang beberapa jawatan Menteri Kanan di peringkat Negeri dan Persekutuan sebelum dilantik sebagai Pengerusi TNB. Tan Sri Leo Moggie adalah mantan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (1998-2004), Menteri Kerja Raya (1989-1995), Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos (1978-1989 dan 1995-1998) dalam Kabinet Persekutuan dan menjadi Menteri Kerajaan Tempatan (1977-1978) dan Menteri Perkhidmatan Kebajikan (1976-1977) di dalam Kerajaan Negeri Sarawak.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam dan telah memegang pelbagai jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dari tahun 1966 hingga tahun 1974. Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (1974-1978) dan Ahli Parlimen (1974-2004).

Keahlian Tan Sri Leo Moggie di dalam Lembaga Pengarah syarikat-syarikat awam yang lain termasuk Digi.Com Berhad dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Internal NewsFlash Bil 26/2011